Tuesday, May 3, 2011

Isteri Rasulullah SAW-Saidatina Khadijah binti Khuwailid

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalammualaikum..alhamdulilah segala puji bagi Allah s.w.t yang masih memberi kesempatan pada Nur untuk terus mencoret sesuatu sebagai pengetahuan buat diri sendiri mahupun orang lain..Berbalik kepada tajuk di atas, Nur ingin kongsi riwayat hidup insan terulung Ummul Mukminin ini yang sangat dicintai oleh Nabi kita, Nabi Muhammad SAW.

Saidatina Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin 'Abdil 'Uzza bin Qushay Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah radhiyallahu'anha adalah isteri Rasulullah SAW yang pertama sebelum baginda dilantik menjadi Rasul Allah.Saidatina Khadijah adalah seorang janda dari suaminya yang terdahulu, Abu Halah bin Zararah bin an-Nabbasy bin 'Ady at-Tamimi, kemudian berkahwin dengan 'Atiq bin 'A`idz bin 'Abdillah bin 'Umar bin Makhzum. Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas disamping beliau juga adalah wanita pedagang yang mulia dan dermawan. 

Sepanjang Saidatina Khadijah hidup bersendirian tanpa seorang yang digelar suami, ramai pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya untuk dijadikan isteri, namun beliau menolak kesemua lamaran yang datang sehinggalah hatinya jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah Khuwailid radhiyallahu'anha.

Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha menjadi isteri Rasulullah SAW ketika beliau berusia 40 tahun dan Rasulullah SAW berusia 25 tahun. Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah, Siti Khadijah setia menyertai Baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan Baginda. Sekiranya Baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga Rasulullah pulang.Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. 



Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha juga menjadi perawat duka suaminya di saat penurunan surah al-Haq melalui perantaraan Jibril alaihi sallam yang menggoncang hati Rasulullah SAW. “Aku khuatir akan terjadi sesuatu pada diriku”. Diselimutinya Rasulullah SAW sehingga beliau kembali tenang dan hilang rasa ketakutannya. Dengan tenang dan lembut, beliau yang mengalirkan tutur kata penuh hikmah dari lisannya lantas membiaskan ketenangan di dalam dada suaminya,

“Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.

"Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hatimu! Demi Zat yang diriku di tanganNya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini”.

Perkhabaran dari Waraqah menjadikan beliau mampu memahami peranan yang bakal dipikul oleh Rasulullah SAW dengan turunnya wahyu tersebut.

"Khadijah, kalau engkau masih percaya kepadaku, sesungguhnya telah datang ”an-nams  al-akbar” kepadanya. Dia adalah Nabi umat ini. Maka katakanlah kepadanya agar dia berteguh hati”.
 
Baginda bukan sahaja seorang suami, atau ayah kepada anak-anaknya, tetapi juga Utusan Allah dalam menyampaikan wahyu dan risalahNya untuk umat yang ada pada ketika itu sehinggalah ke hari kiamat.


Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah, Siti Khadijah pasti bersama dan membantu Baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk. Beliau juga merupakan manusia pertama yang solat di belakang Rasulullah SAW bersama Saidina Ali radhiallahu anhu. Terus mengalir dukungan dan pertolongan dari beliau dalam menghadapi kaumnya. Beliaulah yang membantu Rasulullah SAW dalam mengibarkan bendera Islam, tegar bersama Rasulullah sebagai angkatan pertama. Setiap kali beliau mendengar kata-kata kesat yang dilontarkan kepada suamninya, beliaulah yang setia di sisi baginda dan meringankan beban perasaan yang sangat berat ditanggung oleh kalbu manusia terpilih. Kecintaan Siti Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya jelas berlandaskan keyakinan kuat terhadap keesaan Allah. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah. Allah Maha Adil dalam memberi rahmatNya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.

Firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)

Bukan hanya itu sahaja kebaikan Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha. Beliau mengorbankan setiap harta yang dimiliki kepada suaminya. Bahkan, ketika Rasulullah SAW menampakkan rasa senangnya pada Zaid bin Haritsah, seorang hamba miliknya, beliau segera menghibahkan hamba itu kepada suaminya. Zaid diangkat sebagai orang yang sangat dekat di sisi Rasulullah dengan menjadi anak angkat baginda sendiri. Turut tercatat, Zaid memperolehi kemuliaan sebagai salah seorang dari saf pertama yang mengimani dakwah Rasulullah SAW.
Sebagai seorang isteri, beliau merupakan pendorong utama bagi Rasulullah SAW untuk selalu giat berdakwah, bersemangat dan tidak kenal menyerah. Beliau juga selalu berusaha meringankan beban berat di bahu Rasulullah. Kebijakan, kesetiaan dan banyak lagi kebaikan Saidatina Khadijah tidak pernah lepas dari ingatan baginda Rasul. Bahkan sehingga Saidatina Khadijah meninggal dunia. Beliau benar-benar seorang isteri yang mendapat tempat tersendiri di dalam hati Nabi Allah ini. Betapa kasihnya baginda terhadap Saidatina Khadijah sebagaimana di buktikan dari penceritaan Saidatina ‘Aisyah radhiallahu anha. 

“Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah SAW sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah SAW selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih kambing dan diberikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan pernah aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik daripadanya?”. Lalu Rasulullah SAW menyebut, “Tidak! Demi Allah !Dia Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan seorang pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman kepadaku pada saat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkan ajaran yang aku bawa di saat orang-orang mendustakanku. Khadijah  membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya dariku dan Allah mengurniakanku beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain” . [HR. Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW. Sanggup bersusah-payah bersama suami meskipun seorang yang kaya-raya.

Sesungguhnya janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah besar kepada rumah tangga mereka.Anak yang lahir juga adalah soleh. Keturunan zuriat ahlulbait Rasulullah SAW adalah insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah.Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.

Ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala, di usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha kembali kepadaNya di saat-saat dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi Rasulullah SAW, berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib, bapa saudara baginda. Apabila ditanya tentang Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha akan perpisahan Rasulullah SAW atas pemergiannya, Rasulullah SAW menjawab, "Ya! Sesungguhnya Khadijah adalah pentadbir dan suri rumah yang terbaik."

Sesungguhnya nama Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha tercatat di dalam sirah sebagai wanita pilihan sehingga namanya disebut-sebut di kalangan penduduk langit dan bumi. Kemuliaan itu telah diraihnya sejak masih ada di muka dunia. Tatkala Jibril Alaihi Sallam datang kepada Rasulullah SAW dan mengatakan,

“Wahai Rasulullah SAW. Ini dia Khadijah. Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman. Bila ia datang kepadamu, sampaikanlah salam padanya dari Rabbnya dan dariku, dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumah buatnya di dalam syurga dari mutiara, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan”. Khadijah lantas menjawab salam itu dengan katanya: “Allah Maha Penyelamat, daripada-Nya keselamatan dan kepada-Nya pula kembali keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.” [HR. Bukhari dalam Shahih Bukhari, Bab Perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539]

Ya Allah! Betapa mulianya Saidatina Khadijah binti Khuwailid, As-Sayyidah Ath-Thahirah. Seorang isteri yang setia dan tulus, mukminah mujahidah di jalan deenNya dengan seluruh apa yang dimilikinya dari perbendaharaan dunia. Semoga Allah memberikan balasan yang paling baik kerana jasa-jasanya terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya. 

Semoga kita jadikan peribadi dan akhlak Saidatina Khadijah radhiyallahu'anha sebagai panduan untuk menjadi isteri yang setia dan solehah di sisi suami selama-lamanya..Insya Allah..

Peringatan untuk diriku yang bakal bergelar isteri tika tiba saat yang dijanjikan Allah..

Nurhidayah
3.17 p.m


 

1 comment: