Saturday, April 9, 2011

Luahan Hati Pada Muslimah..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulilah masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk mewarnai kanvas blog ini. Dah lama benor Nur tak update..:) Sebenarnya tak pasti apa yang perlu Nur kongsi, tu yang tak dapat nak update..

Baiklah hari ini Nur nak berkongsi rasa hati Nur dengan muslimah sekalian di luar sana..Dengarlah luahan hati Nur, semoga sama-sama kita muhasabah diri, tepuk dada tanya iman.. Dewasa ini Nur lihat muslimah kita bagaikan lupa tujuan kita diciptakan Allah S.W.T, larangan Allah S.W.T terhadap kita, perintah Allah S.W.T. Contoh yang Nur ingin huraikan adalah dari segi perintah hijab yang Allah S.W.T turunkan pada muslimah sekalian..

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.(Surah An-Nur:31)



Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(Surah Al Ahzab:59)



Kedua-dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa perintah hijab ke atas muslimah adalah wajib. Jika muslimah mengingkarinya maka hukumnya berdosa.

Wahai muslimah sekalian, Nur ingin tegaskan di sini bahawa perintah ini bukanlah hendak mengongkong atau menyeksa muslimah sekalian. Tetapi Allah S.W.T ingin menjaga kita. Allah S.W.T ingin memelihara kesucian kita agar muslimah sekalian terjaga, terpelihara dari gangguan manusia yang berpenyakit hati untuk tujuan maksiat. Pada zaman jahilliah dahulu wanita dipandang rendah, hina dan dijadikan alat pemuas nafsu kaum lelaki. Apabila kedatangan Islam Allah S.W.T mengangkat martabat wanita, memuliakan dan memberikan kedudukan yang mulia disisi Allah S.W.T. Kita dipelihara dengan larangan dan perintah Allah S.W.T agar kita selamat dari gangguan dan fitnah lelaki.

Namun mengapa pada hari ini muslimah sekalian melanggar peraturan yang telah Allah S.W.T tetapkan atas kita? Apakah kita mahu dihina seperti dahulu? dijadikan alat pemuas nafsu lelaki? Mengapa muslimah sekalian meninggalkan jilbabmu? Mengapa muslimah sekalian tidak mempedulikan larangan Allah S.W.T? Cukup jelas bukti dan azab pada muslimah yang melanggar syariat Allah S.W.T. Mereka dirogol, ditipu dan diaibkan! Apa lagi yang tinggal pada dirimu wahai muslimah jika itu berlaku? Kesedihan, kekecewaan, kelukaan, malu dan putus asa akibat kebodohan dan kesombongan kita pada Allah S.W.T. Kita menanggung kerugian dan penyesalan selama-lamanya dalam diri kita..

Ingatlah muslimahku sekalian..jadilah permata yang bernilai..dijaga rapi, dilindungi dan melindungi diri dengan sifat malu kurniaan Allah S.W.T pada kita. Patuhilah perintah dan larangan Allah S.W.T buat kita kerana Dia Pencipta kita dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Jagalah kehormatan kita, kesucian kita kerana Allah S.W.T. Ketahuilah bahawa kepanasanmu bertudung, longgarnya pakaianmu, panjangnya lengan bajumu, panjangnya sarung kakimu, sopannya tingkah lakumu serta ketabahanmu menjaga syariat Islam itu ganjarannya syurga di akhirat kelak. Ikutilah sifat dan sikap para isteri Nabi dan wanita-wanita penghuni syurga untuk kebahagiaan kita dunia dan akhirat.

Janganlah bimbang tentang jodohmu..Allah S.W.T telah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan dan wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika mahu jodoh kita dengan lelaki yang soleh, persiapkan diri kita menjadi solehah dahulu.

Kepada muslimah yang telah tersalah langkah, kembalilah ke jalan yang benar..tinggalkan segala kejahatanmu dahulu..bertaubatlah pada Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Peringatan buat diri Nur jua yang sering melakukan kesilapan..

Nurhidayah..
10.49pm 



No comments:

Post a Comment